*** Ini entri terakhir tentang arwah nenek, Insya Allah. Lepas ni mungkin tak tulis lagi. Maaf kalau ada yang kurang senang ***
Mengingati mati itu sunat. Maka benarlah,hanya kematian itu sebaik-baik peringatan. Sebenarnya perihal kematian bukan sesuatu yang pelik. Setiap hari ada kematian, dan kita sering mendengar khabar kematian tapi sebenarnya tak (begitu) terkesan; sebab manusia tu takde kaitan dengan kita.
Saya salah seorang yang sebegitu; sehinggalah pemergian
Nenek yang sungguh terkesan. Saya tak sempat jumpa arwah atuk; meninggal tahun 1987. Arwah mak long (kakak emak) meninggal sekitar 1997. Saya tak memahami apa-apa pun masa tu. (Nenek dan atuk belah ayah masih hidup).
Di akhir hayatnya arwah nenek tinggal dengan Pak Ngah. Sekitar jam 2.30 pagi, arwah terjaga kerana nak buang air. Ini satu kebiasaan, memang dia akan terjaga sekitar pukul 2 - 3 setiap malam. Pak Ngah tinggalkan arwah sebentar, tak sampai 5 minit, sebab nak ke tandas. Dan apabila Pak Ngah tiba semula mendapatkan nenek, arwah sudah pergi.
Saya termenung mengenangkan betapa mudahnya Tuhan ambil arwah nenek. Seperti yang makcik saya khabarkan, sudah terlalu lama arwah diuji sepanjang hayatnya, namun tidak pernah dia mengeluh atau merungut. Balasannya, Tuhan permudahkan sakaratulmaut. Sakit yang paling sakit di dunia ini, yang tidak tergambar oleh mana-mana manusia.
Saya bukan cucu 'favourite' arwah, saya tidaklah begitu rapat atau mesra dengan arwah. Cuma mengenangkan keluarga saya orang pertama sampai dinihari itu, saya merasa bertanggungjawab. Dari membaringkan arwah seeloknya, mengkiamkan, mencari kain batik lepas, mensedekahkan Yaasin. Saya tidak pernah berurusan dengan kematian, termasuklah memandi, mengapan, dan menghantar ke kubur. Tetapi hampir sebulan yang lalu saya terlibat dengan semua itu. Dalam keadaan tidak bersedia. Bukan saya, malahan hampir semua cucu yang rapat dengan arwah.
Jujurnya peristiwa ini sebenarnya memberi impak kepada saya. Betapa singkatnya hidup. Betapa kematian itu semakin hari semakin menghampiri. Kebelakangan ini saya kerap bermimpi, mungkin terlalu penat dan tekanan. 4, 5 malam lepas saya bermimpikan arwah nenek. Dua malam berturut-turut, malangnya saya lupa tentang apa. Entah, mungkin tidak begitu signifikan berbanding emak yang mengingati mimpi beliau.
Baru-baru ini pencawang TNB di Bandar Baru Bangi terbakar, menyebabkan kawasan saya turut terputus bekalan eletrik. Dalam duduk keseorangan di dalam gelap saya tiba-tiba terfikir, ah beginilah situasinya di dalam kubur kelak. Sendirian. Gelap. Selalu kalau rumah kita tiba-tiba takde eletrik kita akan tengok rumah jiran, kalau dia pun gelap, maknanya kita tak keseorangan. Tapi dah kalau dalam kubur nak tengok jiran sebelah macam mana?
Tau takut.